Suhaila mempercepat perjalanan, waktu Maghrib sudah semakin hampir. Dia tidak mahu menjadi seperti semalam. Kerana asyik bermain badminton di gym, tidak sedar hari sudah gelap. Terpaksa ganti solat. Rasa bersalah kepada Tuhan tak tertanggung rasanya. Bukan dia tidak tahu apa balasannya orang melambatkan waktu solat. Menggerunkan. Itulah yang Suhaila rasa selepas membaca artikel berkaitan di laman sosial Facebook. Mulai hari itu dia cuba solat seawal mungkin selepas masuk waktu walaupun kadang-kadang tidak berjaya. Tapi tak mengapa, dia percaya sesuatu itu perlu dilakukan secara berperingkat. Sikit-sikit lama-lama jadi bukit dan yang penting mestilah konsisten atau istiqamah.
Setibanya di bangunan hostel, kedengaran azan Maghrib berkumandang. Alamak, dah lambat dah ni, nak mandi lagi, aduh... bisik hati kecil Suhaila.
" Eh jom makan dulu, lapar la..." Nisa bersuara setelah selesai azan.
"Errr... aku..."
" Jom la, lapar sangat dah ni. Kalau aku pengsan siapa nak angkat?" Gurau Nisa.
"Aku nak mandi, sembahyang dulu."
"Oh, okay lah, kau naik dulu, aku makan sorang, takpe."
Nisa terus menuju ke tempat makan yang terletak dekat dengan hostel. Suhaila hanya mampu lihat Nisa pergi. Niat untuk ajak solat bersama tidak berjaya. Ah, kenapa susah sangat ni?! Suhaila mengeluh sendiri. Berat betul nak buka mulut. Dia tahu Nisa tidak uzur. Usaha untuk mengajak Nisa mendirikan solat sering kali gagal. Hal sebenarnya, Suhaila tidak tahu bagaimana nak ajak, ayat apa yang sesuai untuk dituturkan untuk mengajak Nisa agar dia tidak terasa hati, supaya dia rasa selesa dengan ajakan itu, supaya dia setuju!! Buntu dibuatnya. Takkan mahu dibiarkan saja. Terasa berdosa pula. Takkan dia seorang sahaja yang mendapat pahala, yang nak masuk syurga sementara kawan-kawan yang lain terus menerus meninggalkan suruhan Allah taala, terus berdosa? Kejam, cukup kejam. Suhaila tahu Nisa tahu kepentingan solat, makna solat kepada muslimin dan muslimat. Malah, Suhaila sendiri pernah lihat Nisa mengerjakan solat. Alhamdulillah. Tapi sekarang tidak lagi atau mungkin Suhaila tidak nampak. Suhaila rasa menjadi tanggungjawabnya untuk mengajak sahabatnya itu mengerjakan solat lima waktu.
Walaupun begitu, Suhaila sedar dirinya juga masih tidak sempurna, solatnya masih ada yang 'lubang-lubang', ada yang tidak khusyu' ada yang tidak sempurna. Namun dia masih cuba untuk memperbaiki solatnya, insyaAllah, semoga Allah membantu usahanya. Selepas mengerjakan solat Maghrib, Suhaila berdoa kepada Allah agar diberikan petunjuk, diberikan cara untuk memujuk sahabatnya untuk mendirikan solat. Berdoa agar orang-orang yang dikasihi, yang berada di sekelilingnya dipancarkan nur dan hidayah. Nisa kini mendapat tempat dalam doa Suhaila. Senantiasa. Nisa, aku sayang kau. Jom solat :')
~~~ Wallahualam~~
written by myself from the bottom of my humble heart. may Allah bless my work and hope you guys benefit from it. Sorry if ada kesalahan tatabahasa, ejaan etctec. Dah lama tak menulis, susah nak karang ayat. happy reading :)
ReplyDelete